Nota : Bagaimana  seorang pelajar tahun akhir universiti yang  hampir   bunuh diri kerana  depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih   mengubah  kehidupannya 180  darjah menjadikannya insan yang paling   bahagia  di muka bumi ini dengan perkahwinan  di usia awal. Berikut   adalah coretan terus dari  hati dan mata pena beliau. 
*****
Saya   berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami   saya   berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar.  Jadi,  mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan  apa?    Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin,  saya  pernah   teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun  dari  tarikh  kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3  tahun,  saya   ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu.  Jujur,  saya   hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga  tidak berhubung  dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya  sedar  kehadiran suami saya yang sudah 4   tahun menunggu peluang. Pada  mulanya,  saya ingat sekadar 'cinta   rebound', tetapi selepas 2 bulan  berkenalan  dan bercintan, suami saya   melamar untuk berkahwin. Pada  mulanya, saya  ingat satu gurauan.  Akhirnya  si dia berani hubungi ayah  saya dan minta  izin untuk  berkahwin kerana  takut kehilangan saya  lagi.
Ayah  saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat  ijazah.
Suami  saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2  bulan   untuk  mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan  saya   sudah  kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami    berkahwin.  Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran,    tiada  majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti  ingin berikan segala yang terbaik untuk  bakal isteri anda.
Dan,  kalau  anda perempuan seperti saya, semestinya  inginkan  hantaran yang  tinggi  (lulusan ijazah sekarang, hantaran  RM10K ke  atas). Perlu  tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya  bukan jual diri, saya  tidak   perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak  letak harga untuk nilai  diri   sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah  kalau kita kahwin  cara  Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan  lulusan ijazah,  saya ada tulang 4  kerat, dan saya  boleh berusaha,  kenapa perlu  mengharap dengan lelaki?  Suami bukan  untuk dibebani, tapi  untuk  disenangi. Isteri bukan untuk  dibeli, tapi  untuk dikasihi.
Kos   kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran,    majlis,  belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya   kan  masih  ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa  perlu buat  majlis  di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau  rasa  sangat mahal  untuk  katering, boleh upah orang masak, tinggal  sediakan  bahan dan  peralatan.  Bersanding tak perlu, buat penat badan  duduk  macam tunggul  depan  orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu  belajar  tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat.  Bagi yang  beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab  selepas  kahwin yang  penting. Lebih baik duit sewa  pelamin jadi duit  persiapan  untuk anak  pertama. Prioritikan penggunaan  duit anda. Kos  bersalin  bukan murah.  Kalau di hospital kerajaan,  paling kurang perlu  ada  RM400-500. Tapi di  hospital swasta, minimum  RM2000. Kos ada anak  sangat  tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu  bayi di  pasar? Harga lampin pakai   buang? Dan sekarang, anda masih  terfikir  pelamin itu penting? Ini tak   kira duit nak beli kenderaan,  beli rumah.  Pening!!
Jadi jangan bebankan  diri anda dengan majlis perkahwinan yang  membazir dan tidak perlu.
Saya  bahagia sekarang. Boleh keluar  dengan suami tanpa rasa takut  dan   malu, disentuh lelaki bukan mahram.  Dan suami saya tidak perlu  takut   saya diambil lelaki lain seperti dahulu.  Apa semua yang pasangan   bercinta  lakukan, kini kami lakukan dengan  halal. Dan kami boleh   lakukan lebih  dari itu, dengan halal. Tidak perlu  risau. Kami aman dan   bahagia. Saya  dan suami masih bercinta. Masih  belajar mengenal  sesama  sendiri. Dan  percayalah, tak guna bercinta  lama-lama.
Seganlah  keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk  anda. Saya  dan  suami,  masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya  mampu  tanggung  hidup  sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa   menyusahkan suami?  Dan  suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi   pelajar perubatan,   anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan   yang cemerlang. Saya   tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur   cintakan suami saya.  Saya  tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa   senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang  ada saya terima.
Bakal-bakal  isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami  anda. Dan   bakal-bakal  suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima  kekurangan dan   kelemahan  pasangan anda. Persamaan membina keserasian,  perbezaan itu    melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga  anda semua merasa tenang dan bahagia.
"Dan   antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya   bahawa  Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri   daripada  jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA    dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH    SAYANG dan BELAS KASIHAN." (
Surah Ar-Rum, 21)
(Dipetik daripada 
http://www.iluvislam.com/keluarga/perkahwinan/1068-jangan-takut-kahwin-awal.html )