Majlis berkat jika patuhi syariat
BAGI setiap pasangan yang diijab kabul, mereka diraikan dalam majlis  kenduri kahwin atau disebut walimatul urus kerana melalui majlis inilah  perkahwinan pasangan terbabit diketahui ramai pihak, sekali gus  mengelak prasangka buruk terhadap mereka. 
 Majlis kenduri kahwin dianjurkan agama dan hukumnya sunat. Justeru,  sesuailah dengan amalan yang dilakukan masyarakat hari ini, apabila ada  perkahwinan diadakan majlis kenduri dengan dijemput orang ramai  menghadirinya. 
 Dari Anas bin Malik r.a menyebut Rasulullah s.a.w melihat di kepala  Abdul Rahman bin Auf kesan kuning, lalu baginda bertanya: “Kesan apakah  ini? Abdul Rahman menjawab: “Wahai Rasulullah aku sudah berkahwin  dengan seorang perempuan bermaskahwinkan satu nawah iaitu timbangan  sebanyak lima dirham emas.” Baginda mendoakan keberkatan untuk Abdul  Rahman bin Auf dan berkata: “Buatlah kenduri walaupun dengan seekor  kambing.” (Muttafaqun alaih) 
 Tetapi dalam situasi kebelakangan ini, sesetengah majlis kenduri  kahwin seolah-olah menjadi arena untuk menunjuk-nunjuk dan bersuka ria,  diadakan besar-besaran di hotel mewah, membabitkan tetamu istimewa saja  dan bercampur dengan unsur maksiat. Apakah ini bentuk walimatul urus  dalam Islam? 
 Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam  sepatutnya bersederhana apabila mengadakan majlis itu, sesuai dengan  nasihat Rasulullah s.a.w kepada umatnya supaya bersederhana dalam semua  perkara.
  Amalan sederhana itu katanya, bertujuan mengelak pembaziran dan unsur maksiat dalam majlis kenduri berkenaan.
 Gesaan bersederhana ini sesuai dengan ayat 26 surah al-Isra’  bermaksud: “Berikanlah kepada kerabatmu, orang miskin dan orang musafir  hak masing-masing dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros.”
 Menurutnya, majlis kenduri terbabit boleh menjadi majlis yang  diberkati jika bertepatan dengan anjuran Islam, tetapi sebaliknya  menjadi majlis terkutuk apabila bercampur aduk dengan maksiat.
 “Bagi memastikan walimah yang diberkati Allah, pertama, kena  menggunakan sumber rezeki yang halal, iaitu wang yang digunakan untuk  majlis terbabit tidak diperoleh melalui cara haram.
 “Majlis yang diadakan itu juga perlu jauh daripada unsur riak iaitu  menunjuk-nunjuk dan bertujuan berbangga-bangga dengannya,” katanya.
 Mohd Rani menegaskan, walimah urus bukanlah suatu majlis untuk  berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk  ibadat diperintah Allah yang perlu diadakan sebaik mungkin mengikut  anjuran agama.
 “Elak daripada bercampur dengan unsur yang diharamkan, tidak  melalaikan, tiada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, tiada  lagu yang melalaikan dan benda lain yang tidak baik.
 “Ulama besar yang warak dulu tidak menghadiri majlis kenduri  apabila ada bunyi gong atau gendang, kerana mereka tidak mahu dilalaikan  benda seperti itu,” katanya.
  Beliau menjelaskan, apabila mengadakan majlis kenduri kahwint jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.
 “Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah  besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput  semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai,  memupuk persefahaman dan perkenalan,” katanya.
 Mohd Rani berkata, masyarakat juga perlu mengelak daripada  menjadikan walimatul urus seolah-olah satu bentuk komersial dengan  menetapkan bayaran tertentu apabila mahu menghadirinya.
 “Majlis ini perlu dilakukan dengan ikhlas. Tetamu juga perlu ikhlas  dan apabila ada sumbangan atau hadiah kepada pasangan pengantin  terbabit hulurkan dengan niat sedekah sebagai satu ibadat.
 “Orang dulu membantu pihak yang mengadakan walimah dengan membawa  sedikit bahan makanan seperti gula,” katanya sambil mengingatkan pihak  yang mengadakan walimah supaya tidak memaksa atau memandang sinis kepada  tetamu yang tidak menghulurkan sumbangan.
 Menjadikan hadiah atau pemberian wang sebagai satu kemestian adalah  menyusahkan tetamu terutama golongan miskin, malah berlawanan dengan  roh Islam.
 Sementara itu, menurut Datuk Daud Che Ngah, sesetengah majlis  kenduri kahwin kini tidak menepati anjuran agama kerana majlis dihadiri  golongan tertentu saja iaitu orang kaya sesama orang kaya, manakala yang  miskin diabaikan malah program kebaratan.
 “Orang yang mengadakan kenduri dengan menjemput orang kaya saja  manakala orang miskin tidak dijemput, kenduri itu kenduri terburuk. 
 “Jika panggil orang besar, hebat, saya ingat orang itu saja yang  tahu, orang kampung tidak tahu. Ramai yang mengadakan kenduri  perkahwinan kerana bangga dan riak (menunjuk-nunjuk),” katanya.
 Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda,  maksudnya: “Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila  orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak  perlu (orang kaya) diundang.” (Muslim) 
  Katanya, dalam perkahwinan boleh mengadakan kenduri tetapi jangan terlalu mewah, bercampur maksiat dan terdedah aurat.
 (Dipetik daripada http://mamatcyber.blogsome.com yg dipetik drpd myMetro, bertarikh 30 Nov 2007)
berape byk petik daa.. 
No comments:
Post a Comment