Kasih pudar tanpa agama
ALAM perkahwinan adalah fitrah semula jadi manusia, menjadi impian  semua orang. Melaluinya akan terbentuk institusi keluarga dan melahirkan  zuriat yang dapat meneruskan keturunan manusia.
  Dalam Islam perkahwinan satu tuntutan yang perlu dipenuhi.
 Sebelum ke gerbang perkahwinan, aspek pemilihan jodoh perlu diberi  perhatian kerana kesilapan membuat pilihan mengakibatkan masalah  kemudian hari.
 Senario masa kini mendapati kebanyakan anak muda lebih gemar  memilih faktor keluarga, harta benda, kecantikan dan pangkat untuk  mengikat tali percintaan dan membina gerbang perkahwinan.
 Secara fizikal, kriteria pemilihan jodoh tiada cacat celanya,  tetapi apabila ia dijadikan keutamaan sehingga agama diketepikan, maka  ia satu kesilapan besar kerana boleh menyebabkan kemanisan alam  perkahwinan menjadi pudar dan akhirnya berlaku perpisahan. 
 Pakar motivasi, Ahmad Shukri Yusof, berkata kesilapan besar bagi  pasangan yang ingin berkahwin tidak meletakkan agama sebagai keutamaan  dalam membuat pilihan jodoh mereka.
 Menurutnya, kesilapan itu juga mengakibatkan hubungan suami isteri  tidak bertahan lama, malah berlaku pelbagai kejadian tidak diingini.
 “Kriteria Nabi Muhammad s.a.w sebut walaupun sudah lama, ia masih  relevan. Agama perlu menjadi asas memilih jodoh supaya perkahwinan dan  kebahgiaan yang dibina bertahan hingga ke penghujung nyawa.
 “Jika betul-betul berasaskan kriteria yang disebut nabi, tiada  timbul pelbagai perasaan dalam alam rumah tangga, seperti ragu-ragu atau  takut tidak berasas,” katanya.
 Islam menggariskan beberapa panduan kepada umatnya memilih jodoh,  seperti mengutamakan lelaki atau wanita beragama dan berakhlak,  sebagaimana sabda nabi bermaksud: 
 “Apabila datang kepada kamu seorang yang kamu puas hati dari sudut  agama dan akhlaknya, maka kamu kahwinkan anak kamu dengannya segera.  Jika kamu tidak berbuat demikian, nescaya timbul fitnah di muka bumi ini  dan kerosakan yang akan ditempuhnya nanti.” (Riwayat Abu Hurairah)
  Umat Islam juga perlu mengelak memilih jodoh dari kalangan lelaki atau wanita fasik.
 Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengahwinkan  anak perempuannya dengan lelaki fasik maka sebenarnya dia telah  memutuskan silaturahim dengan anaknya.”
 Selain itu, kita dianjurkan memilih jodoh dari kalangan yang sihat,  bebas dari penyakit yang dibimbangi mengganggu tugas sebagai suami atau  isteri.
 Pasangan itu pula biarlah sepadan bagi mengelak keaiban pada  beberapa perkara tertentu dan untuk mencapai persamaan dalam bidang  sosial, sekali gus menjamin kesejahteraan hidup suami isteri, tanpa ada  yang berkecil hati atau rendah diri.
 Walaupun aspek itu bukannya syarat sah perkahwinan dan tidak  dipersoalkan ketika majlis ijab dan kabul, namun ia mempunyai pengaruh  besar terhadap hubungan suami isteri.
 Ahmad Shukri turut mengingatkan anak muda supaya tidak mudah  terpedaya dengan istilah cinta, seperti cinta pandang pertama kerana ia  tidak boleh dijadikan asas dalam memilih jodoh.
 “Cinta hanya sementara, malah cinta itu buta. Jika cinta tidak  berteraskan anjuran agama, ia boleh pudar sedangkan mahligai yang mahu  dibina seboleh-bolehnya berpanjangan,” katanya.
 Beliau berkata, golongan muda perlu menilai dan memahami perkara  ini supaya cinta yang selalunya bersemi sebelum perkahwinan tidak  menjerat diri pada kemudian hari.
  “Tidak sukar memilih pasangan mengikut garis panduan terbabit.
 “Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menentukan calon pasangan anda  beragama dan berakhlak seperti bertanya orang lain termasuk saudara,  kawan, malah melihat tindak tanduknya.
 “Ini bukan bermakna Islam menolak calon berharta, berkedudukan dan  cantik malah ciri ini juga penting kerana sudah menjadi sifat semulajadi  manusia suka kepada kecantikan.
  “Cuma, apa yang penting dahulukan agama. Jika sudah beragama, cantik dan kaya raya, itu tentu pilihan yang baik,” katanya.
 (Dipetik daripada http://mamatcyber.blogsome.com yg dipetik drpd myMetro, bertarikh 16 Nov 2007)
berape byk petik daa.. 
No comments:
Post a Comment